Sunday, May 3, 2009

dilarang melarang

Dilarang melarang
Peraturan dicipta untuk mengawal tindakan-tindakan manusia supaya tidak melebihi batasan yang ditetapkan. Sejauh mana KEBERKESANAN satu-satu peraturan itu adalah bergantung kepada KEMANFAATAN yang ada padanya.
Manusia tidak suka pada kekangan dan sekatan. Apa yang dilarang maka itu jugalah yang hendak dilakukan. Bukankah nafsu manusia itu cenderung mengajaknya melakukan kejahatan?
Kita tidak memimpin manusia dengan memberikan arahan sewenang-wenangnya kepada mereka. Kerana fitrah manusia juga tidak suka diarah-arahkan dan disuruh itu dan ini. Oleh kerana itu harus difahami bahawa sesuatu kesatuan didirikan atas dasar hormat-menghormati dan toleransi. Dan yang paling penting adalah kebenaran!
Andainya kita meneliti apa jua peraturan yang wujud di dunia ini maka akan kita ketahui bahawa kebanyakan peraturan itu dicabul oleh manusia. Ada peraturan yang boleh (malahan wajib) untuk kita menentangnya kerana kebatilannya dan ada pula peraturan yang akan membawa mudarat kepada kita seandainya kita tidak mematuhinya.
Peraturan dan undang-undang Islam adalah satu-satunya peraturan ‘HIDUP DAN MATI’ yang membawa kesejahteraan dan kemanfaatan di muka bumi ini.

Seandainya kita meneliti dengan cermat maka akan kita dapati bahawa undang-undang ciptaan Allah ini tidak mendatangkan sedikitpun kerugian kepada Allah seandainya manusia tidak mematuhinya.
Maha Suci Allah yang tidak bergantung kepada satu apapun.
Sebaliknya kebanyakan peraturan ciptaan manusia hari ini menimbulkan keberangan si pencipta peraturan seandainya peraturan itu dilanggar.
Persoalannya kenapa?
Kerana peraturan ciptaan manusia itumendatangkan manfaat kepada sesetengah pihak sahaja terutamanya si pencipta peraturan.
Sebaliknya undang-undang Allah semuanya memberi kemanfaatan kepada manusia dan Allah tidak sekali-kali beroleh kerugian seandainya undang-undang itu dicabuli.
Maka keberkesanan sesuatu peraturan adalah pada kemanfaatan yang diperolehi oleh kelompok yang dikawal. Dengan sendirinya peraturan ini akan dipatuhi oleh mereka yang mengetahui manfaatnya tanpa perlu dipaksa. Manusia manakah yang tidak mahu beroleh keuntungan dan kebaikan setelah mengetahuinya dengan yakin?
HARI INI
Hari ini kita melihat manusia memilih peraturan yang membinasakan mereka sedangkan undang-undang penuh kemanfaatan tersedia buat mereka meskipun ia kelihatan sangat menyeksakan.
Menutup aurat.
Dilarang berzina.
Dilarang berjudi.
Pengharaman riba.
Disuruh berzakat.
Semua undang-undang Islam ini kelihatan berat dan menyeksakan. Itu bagi mereka yang TIDAK TAHU KEMANFAATAN yang ada padanya. Bukan sahaja dari segi kemanfaatan pahala yang tidak dapat dilihat dan diraih di dunia fana ini, bahkan kebaikan peraturan ini juga dapat dilihat secara konkrit di dunia lagi apabila ia dapat mengawal manusia dan mewujudkan keamanan.
Siapakah yang mengetahui bahawa pengharaman riba itu adalah sesuatu yang menjamin kestabilan ekonomi kesemua pihak dan menidakkan penindasan kepada yang lainnya?
Siapakah yang mahu menjadi saksi bahawa pengeluaran zakat itu memelihara umat manusia dari penyakit terlalu miskin dan terlalu kaya yang menggugat psikologinya?
Maka berpalinglah kepada sejarah silam ketika daulah Islamiah tertegak yang menyaksikan keunggulan peraturan ini sehinggakan tidak ada yang layak menerima zakat. Lihatlah bagaimana peraturan ini memakmurkan SEMUA pihak.
Siapakah yang mahu dirinya disebat akibat berzina untuk mendatangkan kebaikan kepadanya?
Maka ketahuilah bahawa sebatan itu menyelamatkan dirinya dan orang lain dari penyakit yang bakal meragut nyawanya.
Bukankah kesemua peraturan ini memuliakan manusia? Lantas mengapa mengingkarinya?
“Sesudah itu, patutkah merekaberkehendak lagi kepada hukum-hukum Jahiliyyah? Padahal-kepada orang-orang yang penuh keyakinan- tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”
(Al-Maidah;50)

Inilah Islam, agama rahmat ke seluruh alam.
Seandainya anda tidak mahu harta-benda anda dicuri, maka tegakkanlah peraturan Islam itu.
Seandainya anda tidak mahu melihat kes rogol dan bunuh berterusan, maka laksanakanlah hukum Allah itu.
Seandainya anda tidak mahu membiarkan harta dan hasil bumi anda dimanipulasi oleh penindas sesuka hati. Dan wang ringgit anda ditelan oleh pihak yang tiada bertanggungjawab lagi takut kepada balasan Allah, maka berhukumlah dengan hukum Allah itu.
Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kita, andai saja kita mengetahuinya.
Kembalilah kita kepada Islam, undang-undangnya, cara hidupnya dan segala sudutnya.
Undang-undang Islam, peraturan yang dilarang untuk melarangnya.

No comments:

Post a Comment