Thursday, June 18, 2009

5 Kunci Rahsia

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda:”Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) Tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.
(Bukhari)

Huraian

Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahu pun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan.




Firman Allah yang bermaksud:” "Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan." (al-Kahfi :109)


Walaupun kita dianggap hebat oleh masyarakat,sama ada hebat dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang canggih,namun,manusia tetap tidak dapat nak mentafsirkan 5 kunci rahsia dimana Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui mengenainya.


Dari Aisyah r.a katanya:”Sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta kerana Allah mengatakan:’Pemandangan tidak sampai kepada-Nya”. Dan sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui hal yang ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan mengatakan:”Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah.” (Muslim)



Sesungguhnya segala yang sabit wujudnya di alam maya ini adalah lebih luas daripada apa yang dapat dicapai dengan pancaindera mahupun peralatan canggih ciptaan manusia. Demikian fahaman akal manusia yang pendek dan terbatas. Dengan itu ternyata bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang ghaib dengan jalan akal yang tenaganya terhad dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata, adalah suatu usaha yang sia-sia, yang sudah tentu akan menemui kegagalan. Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia sebenarnya ialah untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai kemakmuran dan kemakmuran hidup di dunia dan akhirat, bukan digunakan pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya yang akhirnya menyebabkan berlakunya kesesatan.

Wallahu'alamu bissawab.


No comments:

Post a Comment